Penulis mula meminati bidang sukan ini dalam tahun 2005 apabila pensyarah terjemahan di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM mencadangkan beliau membuat kajian mengenainya. Maka bermulalah penyelidikan dalam sukan lumba kereta Formula Satu ini sehingga terhasilnya tesis Sarjana Pengajian Terjemahan di Universiti Sains Malaysia yang bertajuk, "Laras Berita Sukan: Kajian Tentang Sukan Lumba Kereta Formula Satu" dalam tahun 2007.
Dalam mini tesis itu, terdapat penulisan tentang perkembangan sukan lumba kereta Formula Satu di Malaysia serta kajian tentang laras bahasa dalam pengulasan sukan tersebut. Penulis turut menyentuh tentang kurangnya bahan-bahan rujukan dan berita-berita sukan lumba kereta Formula Satu dalam bahasa Malaysia sedangkan negara kita telah mula menganjurkan sukan berprestij ini sejak tahun 1999. Malah dalam musim 2010 ini, Malaysia menghantar pasukan Formula Satunya menggunakan kereta Lotus untuk bertanding.
Siaran-siaran langsung atau tertunda yang disiarkan di stesen televisyen tempatan, penyampaian ulasan perlumbaan tersebut dilakukan hanya dalam bahasa Inggeris oleh pengulas-pengulas terkemuka seperti Martin Brundle dan James Allen. Penyampai tempatan hanya memberi komen ringkas dalam bahasa Malaysia sebelum dan selepas perlumbaan tetapi ia hanya dilakukan sekadar 'melepaskan batuk di tangga'.
Di Astro Supersport terdapat program Formula Satu yang lebih padat dan lengkap berbanding dengan yang dihasilkan oleh stesen-stesen televisyen tempatan lain. Walaupun dalam bahasa Inggeris, tetapi terdapat kepelbagaian iaitu kehadiran tetamu-tetamu jemputan yang akan berbincang tentang perlumbaan yang berlangsung pada minggu itu.
Kewujudan blog Formula Satu dalam bahasa Malaysia ini diharapkan dapat memberikan alternatif kepada peminat-peminat sukan lumba kereta ini untuk mendapatkan maklumat terkini, serta berita-berita lain yang berkenaan dengan pelumba-pelumba, pasukan serta hal-hal teknikal dalam Formula Satu. Berita-berita serta maklumat dalam blog ini adalah daripada penulis sendiri ataupun diterjemah daripada laman-laman web akhbar, pasukan-pasukan bertanding, pelumba-pelumba serta blog-blog yang dihasilkan oleh peminat serta pengikut setia sukan ini.